Sejarah Perjalanan Karier
Kerjaya Politik dan Korporat
- Disember 2022 - Kini Menyandang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia.
- 2022 - Kini Telah dilantik sebagai Pengerusi Sekretariat Pembangunan Ekonomi Orang Asli Malaysia di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
- November 2022 Berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) buat kali kedua sebagai Ahli Parlimen.
- Mei 2020 - Disember 2022 Dilantik sebagai Pengerusi Amanah Raya Berhad sebuah syarikat GLC milik Kerajaan.
- Mei 2020 - Disember 2022 Pada masa yang sama turut menjadi Ahli Jawatankuasa 'Public Accounts Committee' (PAC) dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Negara (Parliament Select Committee on Security) di Parlimen Malaysia.
- 26 Januari 2019 Memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Cameron Highlands (P078). Kemenangan ini telah mencipta sejarah negara kerana beliau merupakan Orang Asli pertama yang berjaya menjadi Ahli Parlimen di Malaysia.
Perwakilan suara komuniti di Parlimen Malaysia
Pengalaman & Bakti di PDRM
Beliau mempunyai pengalaman selama 38 tahun secara keseluruhan dalam perkhidmatan kerajaan sebelum bersara wajib pada 1 Oktober 2018. Pengalaman ini merangkumi 4 tahun perkhidmatan di Lembaga Pelabuhan Johor dan 34 tahun sebagai Pegawai Kanan dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pangkat terakhir beliau di dalam PDRM sebelum bersara ialah Penolong Pesuruhjaya Polis atau Assistant Commissioner of Police (ACP).
- Oktober 2016 - 1 Oktober 2018 Memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, di mana beliau bertanggungjawab mengendalikan dan memantau siasatan kes-kes jenayah komersial yang melibatkan sektor kewangan, perbankan, insurans, dan koperasi di seluruh negara. Beliau terlibat secara langsung dalam penyiasatan kes-kes berprofil tinggi. Beliau bertindak sebagai Penyelia Pegawai Siasatan bagi kes kerugian FOREX RM30 Bilion dan sebagai Penyelaras yang bertanggungjawab menyimpan barang kes bagi kes 1MDB. Beliau juga merupakan individu penting ('Key-Point Person') dalam penyiasatan merentas sempadan dengan agensi antarabangsa seperti wakil Kedutaan Negara Asing, terutamanya pihak FBI (USA).
- Oktober 2015 - September 2016: Berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi Kontinjen Polis Pulau Pinang.
- 2007 - September 2015: Bertugas sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi Kontinjen Polis Negeri Sembilan.
- 2002 - 2007: Memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pengurusan (Ajudan) di Pusat Latihan PDRM (PULAPOL) Kuala Lumpur.
- 1996 - 2002: Berkhidmat sebagai Pegawai Pentadbir (Penyelaras) di Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman. Dalam tempoh ini, beliau juga pernah bertugas sebagai Pegawai Turus Latihan di Kontinjen Polis Kuala Lumpur.
- 1989 - 1996: Berkhidmat sebagai Cif Inspektor Polis merangkap Pegawai Penyiasat Kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor.
- 1984 - 1989: Kerjaya sebagai Pegawai Kanan Polis bermula pada tahun 1984. Pada tempoh ini, beliau bertugas sebagai Pegawai Pendakwa di Mahkamah Majistret Rawang serta sebagai Pegawai Penyiasat di daerah Gombak (Selangor) dan Tampin (Negeri Sembilan).
- 1980 - 1984: Memulakan kerjaya perkhidmatan awam sebagai Pegawai Trafik di Lembaga Pelabuhan Johor, Pasir Gudang. Di sana, beliau bertanggungjawab mengendalikan hal ehwal operasi import dan eksport barangan dagangan (termasuk kontena), kerja-kerja pemunggahan, serta penyimpanan barangan di dalam gudang pelabuhan.
Pencapaian Akademik
PENDIDIKAN TINGGI
- Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DrBA) SEGi University, Malaysia (2024).
- Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) University of the West of Scotland (UWS), Scotland, United Kingdom.
- Sarjana Pentadbiran Awam (dengan Kepujian) Open University Malaysia (OUM). Beliau turut dianugerahkan Anugerah Canselor OUM bagi pencapaian cemerlang ini.
- Sarjana Muda Sastera dalam Urusan Perniagaan (Kepujian Kelas Pertama) University of East London (UEL), United Kingdom.
- Diploma Sains Kepolisan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
- Diploma Pentadbiran Awam Institut Teknologi MARA (ITM), Malaysia.
SIJIL PROFESIONAL
- Sijil Pendidikan Keadilan Jenayah (Certificate in Criminal Justice Education) University of Virginia, Amerika Syarikat.
- Lulusan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI National Academy Graduate) Sesi ke-244 Quantico, Virginia, Amerika Syarikat.
Visi untuk Cameron Highlands
Merintis Perubahan, Membela Akar Umbi
Sebagai Ahli Parlimen Orang Asli pertama di Malaysia dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, misi saya kekal utuh iaitu memastikan kemajuan dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. Berpegang teguh pada prinsip, "Tiada siapa yang akan ditinggalkan dalam arus pembangunan" saya akan terus memacu usaha menaik taraf keperluan infrastruktur asas tanpa kompromi terutamanya di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.